Sunday, January 18, 2009

PERHATIAN UNTUK KAKI PANCING!!!!!

CABARAN memancing di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi menjadi pembuka tirai tahun baru 2009. Seperti tahun sebelumnya, acara ini diadakan khusus untuk kaki pancing berhimpun untuk 'memanaskan badan' setelah selesai segala urusan musim persekolahan yang baru bermula pada awal tahun ini.

Bagi kaki pancing, biasanya mereka tidak memilih kedudukan lokasi, asalkan dapat memenuhi minat atau hobi mereka dalam aktiviti tersebut. Justeru itu, pastinya mereka tidak mahu melepaskan tarikh keramat pertandingan ini yang akan diadakan pada 25 Januari 2009 (Ahad) bermula pukul 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selama empat jam.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM28,000 berserta sijil penyertaan dan hamper.

Tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan ketiga RM4,000 manakala tempat keempat pula berjumlah RM2,000.

Bagi pemenang di tempat kelima hingga ke-40, mereka tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya hadiah wang tunai tetap menunggu mereka.

Menurut kenyataan pihak penganjur, Aziz Safar, 44, dari Team Tuna Biru, Taman Tasik Cempaka cukup sinonim kepada penduduk Bangi untuk menjalankan aktiviti riadah ringan seperti berjoging, selain menikmati keindahan landskap dan panorama alam semula jadi yang damai.

Pada tahun lalu, di lokasi yang sama, lebih 1,200 peserta mengambil bahagian dalam acara yang sama.

Dalam pertandingan tersebut, Usop Mohd Saufi dari Serdang dinobatkan sebagai juara setelah berjaya menaikkan ikan keli seberat lima kilogram.

Tidak seperti tahun lalu, spesies ikan keli diletakkan dalam kategori khas pada tahun ini manakala ikan daripada spesies patin, pacu, tongsan dan rhu bakal menunggu joran kaki pancing untuk dinaikkan ke darat sekali gus dinobatkan sebagai juara tahun 2009.

Dengan lokasi yang strategik, tiada masalah bagi anda untuk sampai ke sini sama ada dari arah Kuala Lumpur atau Melaka. Mereka boleh melalui tol Bandar Baru Bangi atau tol Kajang sebagai panduan anda untuk ke lokasi.

Menariknya pada acara pembuka tirai tersebut, dianggarkan lebih 2,000 kaki pancing dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Selain itu, sebanyak 500 helai baju-t telah disediakan untuk peserta yang mendaftar awal.

Dengan keluasan tasik yang boleh menampung lebih 2,000 peserta dalam satu masa, seramai 70 krew akan bertugas memantau perjalanan pertandingan tersebut.

Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 23, Bangi.

Yuran penyertaan adalah RM100 satu joran dengan dua mata sahaja dibenarkan dan umpan organ haiwan tidak dibenarkan.

Hanya ikan terberat dipertandingkan manakala spesies ikan keli hanya layak untuk kategori khas yang menawarkan hadiah juara sebanyak RM200, kedua RM100 dan ketiga RM70.

Sebanyak dua hadiah bonanza iaitu motosikal turut menunggu peserta yang bertuah.

Menurut Aziz, pertandingan kali ini bertemakan 'mesra pemancing' dan ia akan menghimpunkan semua kaki pancing termasuk menggalakkan orang ramai menjadikan memancing sebagai satu aktiviti atau hobi yang sihat.

"Peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah dan ini dilakukan bagi memberi kepuasan kepada para peserta yang bertanding," katanya dalam kenyataan kepada Kosmo!.

Selain itu, katanya, hampir dua tan pelbagai spesies ikan antaranya patin dan pacu akan dilepaskan pada Ahad ini (esok) untuk 'santapan' peserta kaki pancing yang akan menyertai pertandingan itu.

Menurutnya, hadiah wang tunai setiap satu jam pertandingan turut disediakan kepada para peserta yang berjaya menaikkan ikan mengikut berat yang mana, tempat pertama RM200, kedua RM100 dan ketiga RM70.

"Selepas empat jam berlalu, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1,480 akan menjadi habuan para pemancing yang bertuah. Hadiah ini adalah bonus kepada para pemancing, selain hadiah utama yang ditawarkan," katanya.

Apa lagi, jom pancing ke Tasik Cempaka dan lihat, siapakah bakal juara pertandingan memancing itu.

Sebarang maklumat lanjut, hubungi urus setia pertandingan di talian 016-6215641 (Paus) atau 019-2213223 (Belitung).

0 comments:

AlbuM KenangaN